YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berhubung pembentukan kerajaan baharu di Istana Negara, esok.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perbincangan Khas itu bagi mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu sebelum Seri Paduka membuat keputusan berhubung perkara itu demi kepentingan negara dan rakyat.
Beliau berkata, dalam tempoh itu Yang di-Pertuan Agong menyeru seluruh rakyat dan semua pihak untuk terus beristiqamah dan bertenang sehingga proses untuk membentuk kerajaan baharu selesai.
“Susulan daripada sesi menghadap hari ini, Seri Paduka menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara esok.
“Sesungguhnya, masa depan negara tumpahnya darah kita adalah terlalu berharga dan wajar kita rencanakan dengan penuh cermat serta feliti.
“Rakyat telahpun membuat keputusan untuk memili wakil mereka. Maka, terserah kepada wakil rakyat untuk mencari penelesaian bagi mengurai kemelut yang membelenggu rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Fadil berkata, AI-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap wakil-wakil Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara berasingan di Istana Negara, hari ini.
Beliau berkata, sesi menghadap itu adalah lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) secara, semalam.
“Sesi menghadap ketua gabungan adalah susulan daripada hasil pengesahan calon-calon Perdana Menteri yang telah dimaklumkan oleh ketua dan gabungan parti-parti politik kepada Istana Negara semalam, didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10,” katanya.
Beliau berkata, proses itu adalah selaras dengan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan supaya Yang di-Pertuan Agong dapat membuat keputusan.
“Ia bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri,” katanya. – Malaysiapost

