Agong titah BN sertai kerajaan perpaduan – Zahid

0
1

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli Parlimen parti itu mesti mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

Menurutnya, beliau bersama dua lagi pemimpin tertinggi BN menerima titah tersebut semasa menghadap Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara, pagi tadi.

Menjawab pertanyaan menyenai pendirian berkecuali BN sebelum ini, Ahmad Zahid menjawab ia bukan titah daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Tak ada, tak ada… Bukan itu titah tuanku. Titah Tuanku ialah bentuk kerajaan perpaduan,” katanya memetik Malaysiakini.

Selain Ahmad Zahid, turut menghadap Yang di-Pertuan Agong ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Sesi menghadap ketiga-tiga pemimpin itu kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Agong semalam menitahkan agar semua 30 ahli parlimen BN untuk hadir di Istana Negara pagi ini untuk ditemu bual secara langsung dalam usaha baginda melantik Perdana Menteri ke-10.

Bagaimanapun, menurut Ahmad Zahid, sesi itu digantikan dengan pertemuan mereka bertiga saja yang menghadap Agong.

Susulan titah Agong pagi tadi, Ahmad Zahid berkata, titah tersebut akan dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan kemudiannya Dewan Tertinggi BN.

Berdasarkan surat yang dikeluarkan ibu pejabat parti, mesyuarat MKT Umno dijadual berlangsung pada jam 8 malam ini, diikuti pertemuan Dewan Tertinggi BN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here