PN-PH gagal bentuk kerajaan, mengapa BN nak jadi cina buta?

0
2

TAN Sri Noh Omar membidas Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang masing-masing mahu bergabung dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan.

Menurut bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu, ini kerana kedua-dua gabungan tersebut telah memburukkan BN sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Berikutan itu tegasnya, PN dan PH sepatutnya dapat membentuk kerajaan campuran tanpa BN.

Namun sebaliknya, katanya, BN pula yang diminta menjadi ‘cina buta’ berikutan kegagalan kedua-dua gabungan itu ‘berkahwin’ untuk membentuk kerajaan campuran.

“Kenapa Umno dan BN hendak bergabung dengan PH atau PN? Mengapa PN dan PH tidak mahu rujuk semula?

“Adakah PN dan PH telah bercerai talak tiga? Mengapa BN nak jadi cina buta?” soalnya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Justeru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, Umno dan BN perlu mengambil iktibar daripada siri kegagalan kerajaan yang ditubuhkan bersama DAP sebelum ini.

“Dulu PAS dan DAP pernah bergabung. DAP setuju bagi PAS jadi Menteri Besar Perak, akhirnya PAS tinggalkan DAP. Mungkin kerana ideologi sangat jauh berbeza. Mereka tidak serasi.

“Begitu juga Bersatu, mereka pernah bersekali dengan DAP (PH) hingga Tun Mahathir ketika itu diberi jawatan Perdana Menteri tetapi akhirnya Tun yang berpengalaman 22 tahun sebagai Perdana Menteri meletak jawatan kerana tak tahan kerenah DAP.

“Akhirnya PAS dan Bersatu bergabung tubuh PN. PN dan PH dalam PRU15 menentang dan menghina BN,” katanya.

Noh berkata, setiap parti ada prinsip dan ideologi tersendiri menyebabkan sukar untuk mana-mana parti menggadaikannya bagi kepentingan peribadi.

“Kita tunggu dan lihat sahaja apa yang bakal berlaku. Semua parti ada prinsip perjuangan. Jangan gadai perjuangan parti kerana kepentingan peribadi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here