TAN Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Perikatan Nasional (PN) telah memiliki lebih 112 surat akuan berkanun (SD) Ahli Parlimen sekali gus membolehkan mereka menubuhkan kerajaan.
Bagaimanapun keputusan Yang di-Pertuan Agong menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap secara individu bermula jam 10.30 pagi esok, membuktikan dakwaan Muhyiddin itu adalah sebaliknya.
Terdahulu, pada sidang media petang tadi, Muhyiddin menunjukkan kepada media fail lut sinar dikatakan mengandungi “bukti” PN mempunyai sokongan lebih 112 Ahli Parlimen.
“Tapi bila saya menghadap tadi ada dikatakan yang ini tidak mencukupi. Saya tidak tahu apakah sebab-sebab di sebalik itu tapi buktinya ada di sini,” katanya.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menyaksikan PH memiliki wakil rakyat terbanyak iaitu sebanyak 82 orang berbanding 73 orang PN.
Terdahulu, Barisan Nasional berkata, parti itu telah memaklumkan kepada Agong bahawa tiada Ahli Parlimen BN menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Susulan itu, Istana Negara memerintahkan wakil rakyat BN yang seramai 30 orang menghadap esok. – Malaysiapost

