YANG di-Pertuan Agong mencadangkan kerajaan perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), namun ditolak Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi PN itu berkata, partinya telah memutuskan sebulat suara menolak kerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan.
“Tuanku mencadangkan kita bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan, tetapi kami telah bincang perkara itu sejak awal lagi, kami tidak akan bekerjasama dengan PH.
“Itu pendirian parti kita sejak dulu sampai ke hari ini. Atas tujuan apa sekalipun, ‘unity’ ke apa semua sekali, kita putuskan tak bersetuju,” katanya pada sidang media petang tadi.
Tindakan PN menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong mengakibatkan Parlimen terus tergantung dan kerajaan baharu tidak dapat ditubuhkan segera.
Dalam pada itu, Muhyiddin menayangkan kepada pemberita suatu fail lut sinar yang dikatakan mengandungi “bukti” PN mempunyai sokongan melebihi 112 Ahli Parlimen.
“Tapi bila saya menghadap tadi ada dikatakan yang ini tidak mencukupi. Saya tidak tahu apakah sebab-sebab di sebalik itu tapi buktinya ada di sini,” katanya.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menyaksikan PH memiliki wakil rakyat terbanyak iaitu sebanyak 82 orang berbanding 73 orang PN.
Terdahulu, Barisan Nasional berkata, parti itu telah memaklumkan kepada Agong bahawa tiada Ahli Parlimen BN menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Susulan itu, Istana Negara memerintahkan wakil rakyat BN yang seramai 30 orang menghadap esok. – Malaysiapost

