Kerjasama bukan dengan ‘nakhoda’ parti rosakkan hubungan dalaman BN, Umno

0
1

TINDAKAN Perikatan Nasional (PN) tidak membuat hubungan terus dengan ‘nakhoda’ Barisan Nasional (BN) berhubung pembentukan kerajaan didakwa mencarikkan hubungan dalaman Umno dan gabungan itu.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan PN ‘berhubung’ dengan pimpinan dan Ahli Parlimen BN itu hanya akan mengulangi ketidakstabilan negara yang seperti berlaku antara 2020-2022.

“Kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan pada Mac 2020 tidak stabil kerana perpecahan dalaman antara parti yang bersama mendukung kerajaan.

“Umno/BN sebagai parti yang bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional dipecah perintah dari dalam. Kesannya berlaku perubahan kerajaan.

“Namun, keadaannya masih sama berlaku perpecahan dalaman. Untuk kekuatan sebuah kerajaan hubungan antara nakhoda ketiga parti sangat penting,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, seharusnya untuk membentuk kerajaan yang stabil Bersatu, PAS dan Umno perlu dicantum, bukan dicarikkan.

Katanya, hubungan bagi membentuk kerajaan tidak boleh dibina antara satu parti dengan pemimpin daripada dua dan tiga parti berbeza, tetapi hendaklah bersatu antara parti-parti besar.

“Sebab itu saya menegaskan jika mahu berunding penubuhan kerajaan berundinglah dari pintu depan dengan nakhoda parti.

“Itu yang perlu dilakukan jika mahu negara dan kerajaan yang stabil untuk menghadapi kemelut ekonomi tahun depan,” katanya.

Semalam, pemimpin dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dilaporkan membuat pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan ada kaitan pembentukan kerajaan campuran.

Bagaimanapun, sesi pertemuan itu gagal mencapai kata sepakat selepas beberapa wakil rakyat dari BN menentang kerjasama berkenaan.

Pagi ini, Ahli Parlimen dari BN dikatakan bertemu kepemimpinan PH di Ibu Pejabat Umno di Menara Dato Onn, di Kuala Lumpur bagi memuktamadkan kerjasama di antara kedua-dua gabungan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here