MASUK hari ketiga pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Istana Negara terus menjadi tumpuan pelbagai pihak terutama pengamal media.
Seawal jam 8.30 pagi tadi petugas media dilaporkan sudah ‘terpacak’ di hadapan perkarangan pintu dua Istana Negara, untuk membawa perkembangan lanjut berhubung pembentukan kerajaan baharu.
Difahamkan, tiada kelibat kenderaan membawa ketua parti politik untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sehingga jam 9 pagi tadi.
Sementara itu, petugas media tidak dibenarkan membuat liputan di pintu satu Istana Negara, lapor Berita Harian.
Seorang anggota polis yang ditemui di sekatan jalan menghala pintu itu berkata, ada arahan demikian kerana tiada pergerakan ketua parti politik di kawasan terbabit.
“Setakat ini, arahan atasan bahawa media tidak dibenarkan masuk sebab tiada pergerakan,” katanya.
Hari ini, gabungan parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum jam 2 petang hari ini.
Ketua parti dijangka dipanggil untuk menghadap bagi baginda mendapatkan kepastian sendiri daripada mereka mengenai pendirian gabungan blok parti. – Malaysiapost

