BARISAN Nasional (BN) menghormati keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, dan beriltizam memperbaiki kelemahan parti demi mencipta kejayaan lebih gemilang pada masa hadapan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, Sabtu lalu adalah hari rakyat Malaysia membuat penentuan siapa pilihan mereka termasuk pengundi kali pertama dan pengundi muda.
“Kita hormati keputusan rakyat dan akan memperbaiki kelemahan dan kekurangan demi mencipta kejayaan lebih gemilang pada masa hadapan,” katanya menerusi Facebook.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah berjaya menjadi wakil rakyat, termasuk kepada jentera parti yang bekerja keras menjana kemenangan BN.
Ahmad Zahid berkata, BN akan muhasabah dalam sentiasa setiap langkah yang diambil dan meneruskan perjuangan sehingga kejayaan lebih besar menanti parti pada masa hadapan.
“Terima kasih juga kepada penyokong yang tidak pernah berhenti menyokong perjuangan BN meskipun terpaksa menerima hakikat yang pahit atas keputusan kali ini.
“InsyaAllah lama kelamaan rakyat akan dapat menilai dengan lebih baik segala tawaran yang kita ingin berikan demi kestabilan dan kemakmuran,” katanya.
Pada PRU15 Sabtu lalu, BN mencatat prestasi paling buruk dalam sejarah pilihan raya gabungan itu apabila hanya memenangi 30 kerusi Parlimen. – Malaysiapost

