KEMELUT pembentukan kerajaan persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) masih berlarutan, namun situasi berkenaan dikatakan semakin menyerlahkan ‘wajah’ sebenar’ kepimpinan politik yang ada dalam mencatur rundingan.
Pemimpin Perikatan Nasional (BN) Johor, Badrul Hisham Shahrin, mendakwa keadaan itu akhirnya membongkar perancangan sebenar kepimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Mereka panik dan mereka serlahkan wajah sebenar mereka bila Anwar dan Zahid, bila pro ‘kluster mahkamah’ dan ‘macai’ DAP berpeluk di rumah Umno…Rakyat melihat.
“Di sebelah sana maklumatnya ada MP (Ahli Parlimen) PH juga tidak setuju bila PH dakap Umno… semua yang mereka nafi mengenai ‘cikgu dan anak murid’ dengan sendirinya terbukti hari ini.
“Bukan rakyat tapi penyokong sendiri pun ditipu. Allah Maha baik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga dikenali dengan panggilan Chegu Bard, mendakwa PN mampu memperoleh 118 kerusi Parlimen termasuk di Parlimen Baram dan Padang Serai yang ditangguhkan pengundian.
“PN 73, BN (secara individu) 10, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6, Bebas 2. Keseluruhan (113).
“Ingat Baram belum keputusan tangguh sebab banjir. Itu kawasan kuat GPS maka 114. Dijangka 2 parti lagi (dari Sabah dan Sarawak) akan ikuti…(117). Teruskan tenang dan berdoa.
“PRU Padang Serai akan saksi kebangkitan amarah rakyat insya-Allah (118),” katanya.
Sebelum PRU-15, Ahmad Zahid beberapa kali dilapor menafikan BN akan bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya yang berlangsung 19 November lalu jika tidak berjaya mendapat majoriti dua pertiga.
Beliau yang juga Presiden Umno dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada Mac lalu turut mengulangi pendirian parti itu untuk tidak bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, Bersatu dan DAP.
Sementara itu Anwar yang juga Presiden PKR turut beberapa kali menegaskan dakwaan akan bekerjasama dengan Ahmad Zahid hanya propaganda.
Timbalannya Rafizi Ramli juga menyatakan akan menjadi individu pertama menentang jika wujud kerjasama antara PKR dan Umno. – Malaysiapost

