PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilaporkan bersetuju menjalin kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri Pahang yang tergantung selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah mengesahkan perkara itu hari ini, lapor Bernama.
“Ya, PH Pahang bersetuju untuk kerjasama dengan BN Pahang, tetapi kami menunggu keputusan rasmi daripada pimpinan (PH) pusat,” katanya.
Perkembangan terbaharu itu menyaksikan Pahang bakal menyusuli situasi di Perak apabila kerajaan negeri gabungan kerjasama PH dan BN bakal ditubuhkan.
Terdahulu Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan BN dan PH telah bersetuju membentuk kerajaan negeri di Perak hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan perkara tersebut masih belum dapat dipastikan setakat ini.
Kerajaan Pahang tergantung selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan yang mempunyai 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada PRU15 Sabtu lalu, BN memperoleh 16 kerusi manakala PH memperoleh lapan kerusi dengan enam daripadanya menerusi DAP manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi.
Bagaimanapun proses pengundian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hanya akan diadakan pada 7 Disember ini ekoran kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada hari pengundian PRU15 diadakan. – Malaysiapost

