WANITA Barisan Nasional (BN) mahu gabungan itu berada di dalam blok pembangkang, namun boleh menjadi rakan mesra mana-mana gabungan politik sekiranya diperlukan untuk menubuhkan kerajaan.
Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Noraini Ahmad, berkata keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan, tiada mana-mana gabungan politik yang berjaya mendapat majoriti mudah, 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.
“Berbekalkan 30 kerusi Parlimen yang dimenangi, BN wajar untuk terus berada di dalam blok pembangkang.
“Namun BN boleh menjadi rakan mesra dalam mana-mana gabungan politik sekiranya diperlukan untuk menubuhkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan menjadi rakan mesra parti kerajaan juga perlu dibuat secara bersyarat.
“BN harus diberi kebebasan dalam berbahas, sokong dan tolak sebagai blok neutral (check and balance) bagi apa sahaja usul yang dibentang atau dicadang oleh kerajaan.
“BN juga diminta agar tidak meruntuhkan mana-mana gabungan politik kerajaan yang sudah terbentuk sehingga Parlimen dibubarkan, selagi mana gabungan tersebut masih menjunjung tinggi semangat perlembagaan dan kestabilan politik negara,” katanya.
Dalam pada itu, Noraini meminta semua pihak menhormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.
“Tumpuan utama perlu diberikan untuk memulihkan sokongan rakyat terhadap BN semula pada masa akan datang,” katanya.
Pada PRU15 Sabtu lalu, BN mencatat prestasi paling buruk dalam sejarah pilihan raya gabungan berkenaan, apabila hanya menang 30 kerusi Parlimen. – Malaysiapost

