PN bincang dengan BN bentuk kerajaan Perak

0
1

PERIKATAN Nasional (PN) Perak akan berbincang dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi PN Perak, Razman Zakaria, berkata pihaknya akan memuktamadkan perkara itu secepat mungkin bagi membolehkan kerajaan negeri dibentuk segera.

Menurutnya, PN secara rasmi memenangi 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan jumlah itu tidak cukup bagi mendapat majoriti mudah, iaitu 30 kerusi.

Beliau mengulangi pendirian menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Kita tetap dengan pendirian yang sangat jelas iaitu tidak akan bersama PH, tiada Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), tiada DAP.

“Ruang yang ada sekarang adalah rakan-rakan kita yang ada di BN,” katanya.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan untuk membentuk kerajaan, gabungan perlu memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi.

PH memiliki 20 kerusi manakala BN 11 kerusi termasuk satu dimenangi MCA.

Di Perak, PN menang di kerusi DUN Pengkalan Hulu, Kenering, Selama, Kubu Gajah, Batu Kurau, Titi Serong, Kuala Kurau, Alor Pongsu, Gunong Semanggol, Selinsing.

Selain itu Kuala Sepetang, Changkat Jering, Trong, Kamunting, Chenderoh, Lubok Merbau, Manjoi, Bukit Chandan, Manong, Sungai Manik, Kampong Gajah, Pasir Panjang, Pangkor, Changkat Jong, Slim, dan Bota. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here