Anwar dakwa cukup majoriti bentuk kerajaan

0
2

PAKATAN Harapan (PH) mendakwa akan membentuk Kerajaan Persekutuan kerana parti gabungan itu telah melepasi majoriti mudah iaitu 112 kerusi.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, PH sebagai blok parti gabungan terbesar yang menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah mencapai persefahaman dengan sokongan Ahli Parlimen lain.

“Kami sudah mempunyai lebih daripada 111 kerusi untuk membentuk kerajaan.

“Tidak parti gabungan yang memiliki majoriti mudah dan kami memerlukan beberapa proses lanjut,” katanya pada sidang media pagi tadi.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata pihaknya akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan bagi membentuk kerajaan secepat mungkin.

“Kita menerima keputusan dan menghormati kehendak rakyat dan sedia maklum, PH kelompok terbesar memenangi PRU15,” katanya.

Namun, Anwar enggan mendedahkan butiran perbincangan dengan pihak mana bagi membentuk kerajaan selain menegaskan PH mempunyai jumlah majoriti yang cukup.

Sehingga jam 4.00 pagi ini, keputusan PRU15 secara rasmi menunjukkan PH telah memenangi 82 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) sebanyak 73 kerusi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, adalah mustahil PN akan dapat membentuk kerajaan memandangkan PH ada blok parti yang terbesar memenangi kerusi Parlimen.

Sebelum itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan PN mengalu-alukan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip gabungan itu, untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, pasca PRU15.

Muhyiddin juga berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan pimpinan parti dari Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here