MB Johor gesa Zahid letak jawatan

0
2

PENGARAH Operasi Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi meletak jawatan susulan prestasi buruk gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PR15), semalam.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor, berkata Ahmad Zahid perlu mengambil tanggungjawab berkenaan seperti mana yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak pada 2018.

“Ahmad Zahid perlu meletak jawatan sebagai presiden pada kadar yang segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak telah berjiwa besar dengan meletak jawatan sebagai presiden pada 2018.

“InsyaAllah tindakan berjiwa besar (letak jawatan) ini akan membantu kita mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali Umno,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Beliau berkata, semua sedia maklum bahawa satu Tsunami politik orang Melayu telah berlaku semalam, di mana mereka menolak Umno hingga rebah.

Katanya, Umno dan BN hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor, selain tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Terengganu.

“Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin Umno termasuk saya sendiri perlu kembali mendengar suara rakyat yang diterjemahkan melalui undi mereka semasa PRU15 semalam,” katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, ramai pemimpin Umno, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi ‘terkorban’ kerana keenganan parti untuk mendengar denyut nadi akar umbi.

“Kita semua perlu berani membuat perubahan kearah kebaikan demi masa depan parti ini.

“Usaha untuk memulih dan memperbaiki parti ini perlu bermula sekarang. Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pakatan Harapan (PH) memenangi 76 kerusi manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan MUDA menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh gabungan itu.

Katanya, gabungan Perikatan Nasional (PN) dan PAS pula memperoleh 73 kerusi Parlimen selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi.

Sementara, Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan calon Bebas (dua). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here