Mujahid terima kekalahan di Parit Buntar

0
2

NAIB Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam dengan hati terbuka, selepas tewas di Parlimen Parit Buntar.

Mujahid berkata, beliau menerima keputusan tersebut dengan berlapang dada kerana ia adalah hasrat daripada kehendak pengundi yang diterjemahkan menerusi PRU15.

“Tahniah kepada Misbahul Munir dari Perikatan Nasional (PN) dan syabas kepada calon lain daripada BN dan Pejuang kerana telah menyertai gelanggang demokrasi dengan tulus murni.

“Terimakasih kepada SPR, petugas Keselamatan dan semua pihak yang menguruskan proses pilihan raya yang berlangsung dalam suasana aman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, beliau berharap Pakatan Harapan (PH) dapat menerima kekalahannya di kerusi itu sebagai sebahagian daripada demokrasi pilihan raya.

“Walaupun kami telah berusaha keras untuk kekalkan kemenangan PH namun kita semua harus menerima ianya satu keputusan yang dibuat secara demokrasi berpilihan raya.

“Saya juga amat menghargai jasa penyokong dan pengundi PH yang mempercayai aspirasi dan cita-cita perjuangan kami selama ini,” katanya.

Pada PRU15 semalam, Mujahid memperoleh 17,828 undi, tewas kepada Misbahul yang meraih 23,223 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here