Muhyiddin ada 121 sokongan bentuk kerajaan – Chegu Bard

0
2

PEMIMPIN Perikatan Nasional (BN) Johor, Badrul Hisham Shahrin mendakwa rundingan pembentukan kerajaan persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) telah selesai dengan PN mempunyai 101 kerusi Parlimen.

Menurutnya, jumlah kerusi itu adalah hasil kemenangan PN yang mendapat 73 kerusi ditambah sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 22 kerusi dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyumbang enam kerusi.

“Alhamdulillah selesai. PN (73), GRS (6), GPS (22) = 101.

“Manakala 20 MP (Ahli Parlimen) Barisan Nasional (BN) yang menentang usaha gabungan ‘cikgu dan anak murid’ telah menyerahkan akuan sumpah dan menandatangani CSA (Confidence Supply Agreement) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri (PM).

“Ini bermakna jika Zahid (Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) membuat keputusan sokong cikgunya (Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun cuma ada 10 orang sahaja yang akan bersamanya,” katanya di Facebook.

Beliau yang dikenali dengan panggilan Chegu Bard, berkata 20 Ahli Parlimen BN berkenaan tidak melanggar akta lompat parti kerana jika BN pembangkang mereka akan kekal di kerusi pembangkang Parlimen cuma menyokong Muhyiddin menjadi PM.

“Ini seperti CSA yang ditandatangani pembangkang bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, gabungan dan sokongan itu kini menjadikan Muhyiddin mempunyai 121 sokongan Ahli Parlimen untuk menjadi PM dan seterusnya membentuk kerajaan.

“Umno akan menjalani pemilihan parti enam bulan dari sekarang dan sudah pasti Ahmad Zahid akan kalah dan kepimpinan baru BN akan membuat keputusan baru ketika itu.

“Parti Warisan (tiga kerusi) sudah menyatakan bersedia menyokong kerajaan dibentuk tanpa syarat. Satu dari MP bebas juga sudah nyatakan sokongan bersama kerajaan dibentuk.

“Dalam masa terdekat akan diumumkan kerajaan minoriti dengan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Badrul Hisham juga mendakwa selepas Ahmad Zahid dan Anwar gagal membentuk gabungan kerajaan pusat, kedua-dua pemimpin berkenaan kini sedang bersungguh untuk pastikan PH dan BN membentuk kerajaan Perak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here