GPS pilih PN, BN dan GRS untuk bentuk kerajaan persekutuan

0
2

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) mengambil keputusan untuk membentuk kerajaan persekutuan bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi mengukuh dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

Pengerusinya Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum bahawa tiada sesebuah parti mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan selepas selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam.

“Dunia dan negara kita bakal berhadapan dengan cabaran krisis ekonomi sekarang dan keadaannya dijangka akan menjadi lebih genting pada tahun hadapan.

“Demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara kita terpelihara maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Premier Sarawak berkata, keputusan pembentukan kerajaan gabungan itu adalah berasaskan empat perkara.

“Menegakkan keluhuran Perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Sarawak dan kedaulatan undang-undang yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Menegakkan hak kebebasan beragama dan amalan kepelbagaian adat resam dan budaya di Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, MA63 dan Laporan IGC.

“Autonomi dari segi perancangan pembangunan pendidikan dan kesihatan serta perkara-perkara lain yang mempunyai kepentingan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abang Johari menegaskan, fokus dan tanggungjawab utama ketika ini adalah memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here