Seorang ahli MKT Umno cadang BN bentuk ‘unity government’ tanpa PH

0
3

SEORANG ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mencadangkan Barisan Nasional (BN) membentuk sebuah kerajaan perpaduan tanpa Pakatan Harapan (PH).

Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara ini harus diteruskan dengan dipimpin oleh sebuah kerajaan yang stabil dan berpengalaman.

“Berpaksikan ‘track record’, saya berprinsip bahawa kita harus membentuk sebuah ‘unity government’ tanpa PH untuk menerajui Kerajaan Malaysia pasca PRU15 ini.

“Asas utama penolakan terhadap PH adalah atas kegagalan pentadbiran dan keruntuhan negara semasa 22 bulan diperintah mereka pada PRU 14 lalu.

“Perkara ini sewajarnya menjadi ‘collective responsibility’ dalam kalangan ahli Dewan Rakyat BN, Perikatan Nasional, GPS, GRS, BEBAS dan lain-lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jalaluddin berkata, beliau juga secara terbuka mengambil sikap berjiwa besar dan matang dalam kolektif politik untuk mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri atas kerangka bahawa PN memiliki jumlah kerusi kedua tertinggi dalam Dewan Rakyat selepas PH.

“Kerangka pemikiran ini adalah atas prinsip saya untuk memastikan rakyat dan negara ini terus berada dalam keadaan stabil dan makmur sepertimana yang parti saya perjuangkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here