Berakhirnya legasi keluarga Anwar di Permatang Pauh

0
2

LEGASI keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim selama 40 tahun di Parlimen Permatang Pauh berakhir selepas calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Fawwaz Mat Jan menang di kubu kuat PKR itu semalam.

Kerusi paling selamat bagi PKR sejak 1982 itu, menyaksikan Anwar, isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah pasti memperoleh majoriti besar setiap kali bertanding di situ.

Namun, malam tadi sejarah tercipta apabila kerusi legasi keluarga Anwar itu terpaksa diserahkan kepada calon PAS yang bertanding menggunakan tiket PN selepas menang dengan majoriti 5,272 undi.

Penyandang kerusi itu yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah, terpaksa berputih mata apabila hanya memperoleh 32,366 undi.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Nurul Izzah, Muhammad Fawwaz, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (BN) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang).

Pada PRU6 yang berlangsung April 1982, Anwar bertanding atas tiket BN, merampas kerusi itu daripada PAS apabila mengalahkan Zabidi Ali dengan majoriti 14,352 undi.

Anwar menyandang kerusi berkenaan sehingga 1999 ketika beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, selain menjalani hukuman penjara selepas tuduhan rasuah dan liwat.

Dr Wan Azizah kemudian bertanding di kerusi Parlimen berkenaan dan menang pada 1999 (PRU10) dan menyandang kerusi berkenaan sehingga 2008.

Pada 31 Julai 2008, beliau mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas dibebaskan dari penjara.

Anwar mengekalkan kerusi itu pada 2013, namun statusnya sebagai Ahli Parlimen ditarik balik susulan sabitannya dalam kes liwat, pada 2015.

Dr Wan Azizah kemudian kembali mengambil alih kerusi terbabit dalam PRK selepas itu dan menyandangnya sehingga PRU14 sebelum Nurul Izzah mempertahankan kerusi itu apabila menewaskan Mohd Zaidi (BN) dengan majoriti 15,668 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here