ISTANA Kinta di Ipoh, Perak kini menjadi tumpuan apabila Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Nazri dijadualkan menghadap Sultan Perak pagi ini.
Difahamkan, kehadiran wakil SPR itu di Istana Kinta untuk membentangkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membabitkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, lapor Berita Harian.
Kemungkinan, tiada wakil gabungan mana-mana parti menghadap Sultan Perak hari ini, kerana kebanyakan mereka perlu menghadiri mesyuarat berhubung situasi semasa PRU15 negeri ini.
Setakat ini, DUN Perak masih tergantung kerana belum ada mana-mana gabungan parti politik berjaya mencapai majoriti mudah 30 kerusi, untuk membentuk kerajaan negeri.
Mengikut keputusan rasmi SPR pagi tadi, PN memenangi 26 kerusi DUN, disusuli PH (24) dan BN (9).
Perak menyaksikan sebanyak 59 DUN dipertandingkan pada PRU kali ini. – Malaysiapost

