Ahmad Zahid, Tok Mat digesa letak jawatan

0
2

NAIB Ketua Umno Bahagian-Bahagian Malaysia menuntut kepimpinan parti itu mengambil langkah segera susulan kekalahan teruk Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam.

Pengerusinya Datuk Muhammad Anuar Mohd Yunus, berkata kesan daripada ketidakcekapan pimpinan Umno dalam mengurus perjuangan dan usaha mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti telah mengakibatkan BN tewas.

Menurutnya, demi sayangnya kepada parti dan perjuangan agama, bangsa dan negara, pihaknya menyatakan pendirian dan menuntut tindakan serta merta kepimpinan tertinggi parti berhubung lima perkara.

“Pertama, sebarang perbincangan dan usaha menyatukan parti Umno dan BN dengan Pakatan Harapan (PH) adalah tidak diterima.

“Persefahaman dengan PH yang dikuasai DAP adalah suatu pengkhianatan paling besar dan mereka yang bersekongkol dengan usaha ini tidak boleh dikompromi dari ditolak parti,” katanya.

Beliau berkata, perkara kedua adalah desakan agar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN serta merta.

“Demi pertanggungjawaban terhadap kekalahan yang memalukan malah lebih teruk dari PRU-14 yang lalu.

“Kami mengucapkan berbanyak terima kasih atas sumbang baktinya selama memimpin, namun penolakan jelas rakyat terhadap Umno atas kebimbangan mereka parti ini dipimpin oleh beliau terpaksa diambil kira bagi meletakkan semula kepercayaan rakyat seterusnya mengembalikan Umno di hati mereka,” katanya.

Muhammad Anuar berkata, perkara ketiga adalah Datuk Seri Mohamad Hasan, sebagai Pengarah Pilihan Raya BN diminta agar melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno.

“Ia sebagai tanda betapa beliau bertanggungjawab atas kekhilafan strategi dan calon-calon yang dipertaruh BN. Kegagalannya mengotakan beberapa janjinya telah mengakibatkan berlaku defisit kepercayaan penyokong dan rakyat secara keseluruhan.

“Maka yang demikian, selari dengan kenyataan medianya sebelum ini bahawa akan melepaskan jawatan andainya BN tewas, hendaklah dikotakan,” tegasnya.

Perkara keempat pula menurutnya, semua pemimpin-pemimpin Umno yang jelas dilihat dekat di hati rakyat hendaklah diberikan tempat serta-merta di dalam kepimpinan Majlis Tertinggi Umno.

Katanya, mereka yang mendapat pertambahan majoriti kemenangan, berjaya merampas kembali kawasan-kawasan tewas dan yang berjaya mengurangkan majoriti lawan perlu ditempatkan di dalam barisan kepimpinan tertinggi parti.

“Kelima, meneliti kembali pola kekalahan BN di kawasan-kawasan yang selama ini diberikan khidmat bela rakyat yang cemerlang oleh penyandang-penyandang kita sebelum ini, malangnya mereka dinafikan untuk kembali bertanding.

“Sehingga BN akhirnya tewas di kawasan-kawasan berkenaan, maka mereka harus diberikan tempat dan peranan di dalam pucuk pimpinan parti bagi menunjukkan apresiasi parti terhadap isyarat rakyat,” katanya.

Beliau berkata, langkah-langkah berkenaan perlu diambil kerana tiada kompromi di dalam memastikan Umno terus relevan di hati rakyat dan keterbukaan para pemimpin tertinggi parti adalah disanjung tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here