Ahmad Zahid tegaskan hanya beliau yang tentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan

0
2

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan tiada rundingan antara BN dengan Perikatan Nasional (PN) setakat ini yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan.

Beliau turut menegaskan bahawa BN tidak pernah sama sekali berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

“Merujuk kepada kenyataan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg, saya suka menegaskan BN tidak pernah sama sekali berunding dengan GPS untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama dengan PN.

“Saya juga ingin memaklumkan, tiada sebarang perundingan dengan PN setakat ini yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan dengan gabungan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kesemua Ahli Parlimen BN yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) telah menandatangani aku janji dan memberi mandat kepadanya selaku Presiden untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

“Sehubungan itu, mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen.

“Ia selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu Abang Johari yang juga Pengerusi GPS memaklumkan gabungan itu mengambil keputusan untuk membentuk kerajaan persekutuan bersama PN, BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi mengukuh dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here