DESAKAN demi desakan dibuat terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi oleh pemimpin parti-parti komponen gabungan itu susulan kekalahan teruk diterima pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam.
Terbaru desakan dibuat oleh Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy yang berpendapat langkah itu demi kebangkitan semula BN.
Menurutnya, pemimpin berkenaan perlu berjiwa besar dan melepaskan jawatan beliau sebagai Pengerusi BN serta Presiden Umno sebagai jalan terbaik memulih dan memperbaiki komponen BN dan ianya perlu bermula sekarang.
“Anggaplah ini satu pengajaran buat kita semua. Peletakan jawatan ini juga untuk memberi laluan kepada pimpinan lain yang mampu membawa perubahan jika tidak mahu berdepan dengan penolakan lebih teruk pada masa hadapan.
“Saya mohon sangat dari lubuk hati saya, dengan penuh rasa hormat supaya Pengerusi BN untuk meletak jawatan. Inilah yang juga dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak telah berjiwa besar dengan meletak jawatan sebagai Presiden pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Mohana lagi, Ahmad Zahid perlu mengambil tanggungjawab penuh kerana bertindak menukar 10 calon BN yang mempunyai kekuatan untuk menang sehingga menyebabkan kekalahan begitu teruk semalam.
“Tindakan ini juga telah menyebabkan kita kalah dengan begitu teruk walhal calon-calon ini merupakan antara yang mampu memberikan kita kemenangan pada PRU-15 ini.
“Rata-rata kekecewaan akar umbi dan umbi dengan tindakan Presiden itu sehingga memboikot dan tidak bersemangat membawa kemenangan untuk BN.
“Tempias itu turut dirasai oleh calon-calon lain kerana jentera tidak dapat bekerja dengan semangat tinggi untuk membawa kemenangan buat BN. Suka atau tidak, ini adalah realiti dan kebenaran pahit,” katanya.
Berkongsi sentimen sama, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, K Raven Kumar berkata, sudah tiba masanya Ahmad Zahid berundur daripada memimpin BN.
“Cukuplah mempertaruhkan masa depan parti demi kerakusan kuasa dan kepentingan diri. Berundurlah dengan hormat dengan kelangsungan parti.
“Tindakan ini akan memberi peluang untuk BN pulih dan kembali relevan demi rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

