1,900 karton rokok seludup dirampas tentera

0
2

MARKAS Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya merampas 1,900 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM114,000 dalam Op Benteng di Tanjung Logok, Tenggaroh, Kota Tinggi, awal pagi tadi.

Operasi jam 2 pagi itu, dilaksanakan di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) oleh pasukan rondaan berdasarkan maklumat risikan.

Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan maklumat perisikan terdapat pergerakan yang mencurigakan di kawasan tersebut dan hasil rondaan mengesan satu longgokan kotak berada di pesisir pantai.

“Pasukan ronda mempercayai kotak-kotak tersebut baru sahaja dinaikkan dari perairan dan menunggu untuk diambil oleh orang perantaraan peruncit.

“Kesemua 38 kotak telah dibawa ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk pemeriksaan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua 38 kotak tersebut mengandungi 1,900 karton rokok jenama Saat (Gold) yang bernilai RM 114,000.

“Laporan polis telah dilakukan di Balai Polis Tanjung Sedili pada jam 5 pagi dan barang rampasan akan diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki  pendatang asing tanpa izin (PATI) atau aktiviti penyeludupan di sekitar kawasan tangkapan.

“TDM menerusi Divisyen Ketiga Infantri Malaysia terus komited memperkasakan kawalan keselamatan daratan wilayah selatan Semenanjung Malaysia melalui pemantauan serta penguatkuasaan berterusan bagi memastikan jenayah rentas sempadan dapat dikekang demi kedaulatan negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here