MCA pula desak Zahid berundur

0
2

SETIAUSAHA Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon meminta Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur susulan prestasi buruk gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sin Woon berkata, MCA telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ahmad Zahid serta menggesa beliau melepaskan jawatannya.

“MCA juga menyatakan pendirian bahawa kami telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Ahmad Zahid sebagai Pengerusi BN. 

“Beliau haruslah meletakkan jawatan dengan terhormat supaya seorang pemimpin baharu dapat mengambil alih pucuk pimpinan BN untuk menentukan hala tuju parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyatakan rasa kecewa atas keputusan Ahmad Zahid menangguhkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan pada malam ini. 

Katanya, ketika politik tidak stabil selepas pilihan raya, keperluan untuk bermesyuarat amat mendesak supaya BN dapat membuat keputusan sebagai satu blok.

“MCA mengambil pendirian yang tegas bahawa tiada mana-mana pihak yang berhak mewakili BN untuk berunding dengan mana-mana parti politik tanpa mandat daripada Dewan Tertinggi BN,” katanya.

Beliau juga mendesak Pemangku Pengerusi BN memanggil Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dengan segera, jika Ahmad Zahid berundur. 

BN mencatat prestasi paling buruk dalam sejarah pilihan raya gabungan itu apabila hanya memenangi 30 kerusi Parlimen pada PRU15, semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here