ANGGOTA perkhidmatan awam akan terus menyempurnakan tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan tidak terjejas sepanjang proses pembentukan kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata anggota perkhidmatan awam akan memastikan perkhidmatan kerajaan tidak terjejas kepada rakyat dan pemegang taruh.
“Menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenaan pembentukan kerajaan pasca PRU-15.
“Anggota perkhidmatan awam terus komited mendukung konsep ‘neutrality’ dan ‘government of the day’ berlandaskan ‘rule of law’.
“Mendepani situasi semasa, saya memberi jaminan anggota perkhidmatan awam akan terus menyempurnakan tugas yang diamanahkan dengan dedikasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota perkhidmatan awam sentiasa siap sedia dan berpegang teguh kepada prinsip dan ikrar Perkhidmatan Awam demi rakyat dan negara yang kita cintai,” katanya.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar ketua parti-parti politik dan gabungan parti mempunyai jumlah kerusi majoriti mengemukakan nama calon perdana menteri kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang, esok.
Titah itu susulan pemakluman keputusan PRU-15 daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada jam 1.15 tengah hari, hari ini.
Dokumen dikemukakan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu. – Malaysiapost

