PM puas hati perjalanan proses pengundian

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian seluruh negara sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hari ini.

Ismail Sabri berkata, proses pengundian berjalan dalam suasana aman dan harmoni tanpa sebarang provokasi daripada parti bertanding.

“Saya harap keharmonian sepanjang tempoh berkempen sebelum ini dapat diteruskan selepas tamat hari pengundian.

“Setakat ini tiada laporan kekecohan dilaporkan dan saya berpuas hati dengan perjalanan hari pengundian,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri bersama isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin tiba di SMK Bandar Kerayong jam 9.20 pagi.

Ismail Sabri dan isteri selesai menunaikan tanggungjawab mengundi sejam kemudian selepas beratur selama satu jam bersama pengundi lain.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengucap takziah atas pemergian calon Perikatan Nasional (PN) kerusi DUN Tioman, Md Yunus Ramly awal pagi tadi.

Beliau berkata, sebarang keputusan mengenai perjalanan pengundian bagi kerusi itu diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham (Md Yunus) atas pemergiannya awal pagi ini.

“SPR akan menentukan tarikh baharu bagi pengundian kerusi DUN berkenaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Md Yunus disahkan meninggal dunia jam 2.40 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Rompin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here