Hampir semua calon bertanding di Pahang selesai mengundi

0
1

SEHINGGA jam 11 pagi tadi, semua calon bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Pahang selesai menunaikan tanggung jawab mereka.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gahai, dekat Sungai Koyan, Lipis.

Beliau yang juga penyandang kerusi itu sejak lima penggal lalu, ditemani isterinya, Datin Seri Burhah Mohammad selesai mengundi di sekolah itu jam 8.50 pagi tadi.

Antaranya calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang mengundi di SK Sungai Talam, dekat Kuantan, jam 9.25 pagi.

Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh pula mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sera kira-kira jam 10.30 pagi.

Penyandang kerusi parlimen Kuantan itu bersama ahli keluarganya selesai mengundi di sekolah sama kira-kira sejam kemudian.

Dalam pada itu, penyandang kerusi parlimen Paya Besar daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Shahar Abdullah pula menunaikan proses pengundian di SK LKTP Sungai Panching Selatan jam 8.50 pagi.

Seorang lagi penyandang kerusi dewan undangan negeri (DUN), Mohd Tarmizi Yahya selesai mengundi di SK Panching jam 9.20 pagi.

Mohd Tarmizi daripada PN akan mempertahankan kerusi DUN Panching dalam pilihan raya umum kali ini.

Calon PH bagi kerusi DUN Teruntum, Sim Choon Siang pula selesai mengundi di SK Abdullah, Kuantan jam 9.20 pagi.

Sim adalah penyandang kerusi itu pada pilihan raya umum lalu.

Calon BN Teruntum, Tee Choon Ser juga sudah selesai mengundi jam 9.20 pagi tadi.

Dalam pada itu, anak bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Nizar pula mengundi di SMK Peramu Jaya kira-kira jam 9 pagi tadi.

Beliau bersama isterinya, Datin Sharmila Shaheen sempat meluangkan masa bersama pengundi di sekolah itu selepas selesai proses pengundian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here