PAKATAN Harapan (PH) tidak bercadang bekerjasama dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan sekiranya gagal mendapat majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ketiga-tiga parti dalam gabungan PH mengekalkan pendirian yang sama iaitu mahukan kemenangan sendiri.
“Kita pergi berperang untuk menang jadi itu menjadi ketetapan saja dan ia juga telah dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook serta Presiden Amanah, Mat Sabu (Mohamad Sabu).
“Secara konsisten kami bertiga berada di sini (PRU15) untuk memastikan kemenangan,” katanya hari ini.
Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk membentuk kerajaan sekiranya berlaku Parlimen tergantung.
Terdahulu calon PH Parlimen Tambun itu selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti pada jam 9.06 pagi.
Mengulas lanjut Anwar berkata, PH akan cuba sebaik mungkin untuk mendapatkan mandat rakyat pada pilihan raya ini.
“Saya doakan dengan semangat rakyat kita dapat tawan Putrajaya Insya-Allah,” katanya. -Malaysiapost

