Tun M yakin Pejuang mampu jadi kerajaan 

0
1

PEJUANG mampu dipilih menjadi kerajaan, dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.  

Pengerusi Pejuang itu berkata, meskipun ramai memperkecilkan kemampuan Pejuang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun parti itu mampu memimpin kerajaan kerana calonnya bebas daripada sebarang kontroversi.  

“Sehingga kini penulis dan media sosial mengenepi dan menolak Gerakan Tanah Air yang bertanding dengan nama Pejuang Tanahair kerana GTA tidak didaftar oleh Kerajaan. 

“Pejuang meletak 125 calon dan jika disokong, Pejuang boleh membawa perubahan kepada politik negara. 

“Pemimpin dan calon Pejuang bersih dari segala jenayah dan berpengalaman dalam pentadbiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.  

Dr Mahathir yang bertanding di Parlimen Langkawi berkata, Pejuang berjanji kepada rakyat Malaysia untuk membentuk kerajaan yang mampu menguruskan kewangan negara dengan baik.  

“Janji Pejuang ialah untuk mendiri Kerajaan yang bebas dari rasuah dan pencurian wang Kerajaan. Pejuang akan pegang kepada perundangan (The Rule of Law) dan Perlembagaan. 

“Pejuang mempunyai perancangan untuk pulih ekonomi, mengurus kewangan dengan baik, menstabilkan politik dan mengembali negara sehingga jadi Asian Tiger,” katanya.  

Pejuang bersama parti Putra, Iman, dan Berjasa membentuk gabungan politik atas nama Gerakan Tanah Air (GTA) namun tidak boleh bertanding menggunakan nama itu kerana tidak sempat didaftarkan pada Suruhanjaya Pendaftaran Pertubuhan (ROC).  

“Pejuang bukan parti kecil. Pejuang juga bukan baru dari segi politik dan pentadbiran. Di waktu ini hanya Pejuang sahaja yang berslogan Bersih, Cekap dan Beramanah. 

“Pilihlah Pejuang jika negara ingin elak dari huru-hara dan malapetaka. Kita sudah lihat apa yang telah terjadi apabila, BN, PN dan PH memerintah. 

“Elak dari yang boleh dielak dengan memberi peluang kepada Pejuang Tanahair. Jika tidak sebagai Kerajaan Pejuang sebagai rakan besar dalam pakatan (coalition) dengan yang bersih akan bawa banyak kebaikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here