PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kenyataannya dalam sebuah ceramah di Johor yang tular di media sosial “diambil di luar konteks sama sekali”.
“Kenyataan saya yang diedarkan lawan PN khususnya untuk mencemarkan imej saya dan mencipta naratif palsu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, satu klip video berdurasi seminit 44 saat tular di media sosial memaparkan Muhyiddin memberitahu penonton supaya tidak memilih Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya esok.
Muhyiddin berkata, PH adalah parti yang bahaya kerana beliau pernah terjumpa video mengenai sekumpulan orang Yahudi bercakap tentang Malaysia.
Beliau yang juga calon PN Parlimen Pagoh itu mendakwa, kumpulan berkenaan berdoa supaya Malaysia jatuh ke tangan pembangkang yang menaja Yahudi dan Kristian.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa ada orang Islam pergi gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya dan telah berlaku proses Kristianiasi di negara ini. –Malaysiapost

