SOKONGAN pengundi Melayu kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu 26.7 peratus, kata Rafizi Ramli.
Timbalan Presiden PKR itu berkata ia berdasarkan kaji selidik terkini melalui kaedah panggilan telefon interactive voice response (IVR).
Menurut Rafizi, tahap sokongan pengundi Melayu menjelang PRU14 adalah 33.6 peratus yang menunjukkan keadaan Umno/BN lebih parah sekarang berbanding PRU14.
Berdasarkan kaji selidik itu katanya, sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) dan PN adalah hampir sama iaitu antara 22 ke 23 peratus.
“Tahap sokongan Melayu kepada PH kali ini adalah lebih tinggi dari PRU14 (menjelang hari mengundi).
“Jumlah pengundi Melayu yang belum membuat keputusan meningkat dari minggu lalu kepada 24 peratus, iaitu pertambahan 4 peratus dalam masa seminggu.
“Ini menunjukkan lebih ramai pengundi Melayu menukar keputusan dari mengundi Umno/BN (minggu lepas) kepada “belum buat keputusan” yang membayangkan peralihan undi Melayu kepada PH,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Kaji selidik itu dijalankan pada Rabu dan Khamis melibatkan 1,226 pengundi berdaftar di seluruh negara.
Ia dipilih mengikut strata pengundi berdasarkan jantina, umur, kaum, pecahan bandar/desa, latar belakang ekonomi dan seterusnya diberi pemberat mengikut jumlah pengundi bagi setiap strata di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata sokongan pengundi Cina dan India kepada PH telah kembali ke paras PRU14.
“Sokongan keseluruhan pengundi kepada PH mengatasi sokongan kepada Umno/BN dan PN di semua peringkat umur pengundi.
Peningkatan paling ketara ialah di kalangan pengundi >55 tahun (PH mendahului pada paras 36% berbanding BN – 31% dan PN – 11%), diikuti dengan kumpulan pengundi 25-54 tahun (PH mendahului pada paras 30% berbanding BN – 22% dan PN – 18%).
“Sokongan keseluruhan pengundi muda 18-24 tahun adalah hampir sama bagi ketiga-tiga gabungan iaitu dalam julat 20% – 25%,” katanya.
Menurut Rafizi, jika pola sokongan itu tidak berubah menjelang hari mengundi esok dan jumlah kehadiran melebihi 75 peratus, PH dijangka memenangi lebih dari 100 kerusi Parlimen di seluruh negara. – Malaysiapost

