TIADA gabungan parti yang boleh keluar selaku pemenang dengan garis majoriti mudah 112 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), esok.
Hasil dapatan kajian dan observasi Ilham Centre mendapati Pakatan Harapan (PH) bakal menang 86 kerusi Parlimen, berbanding Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka masing-masing menang 51 dan 25 kerusi Parlimen.
Ilham Centre menerusi kenyataan berkata, ia
mengambil kadar keluar mengundi sekitar 80 peratus.
Menurutnya, laporan cerapan dan observasi kajian umum dilakukan selama tiga minggu bermula 31 Oktober hingga 17 November melibatkan kaji selidik secara tatap muka dengan 1,211 responden dan perbincangan kumpulan sasar (150 responden) di seluruh negara.
“Kurang daripada 24 jam, penguasaan kerusi-kerusi bandar dan campuran jelas menjadi nadi kekuatan PH dalam pertarungan taktikal tiga penjuru.
“Semakin tinggi undi Melayu yang ‘dicuri’ PN akan memberi kelebihan kepada PH untuk mempertahan dominasinya di kawasan tersebut. PN gah mencabar BN di kawasan majoriti Melayu ekoran kekuatan BN yang terpancar.
Namun begitu, Ilham Centre menjelaskan, ia masih belum cukup untuk menumbangkan BN.
“Kekuatan ini bak iklan syampu ‘tersekat di skala tiga’ kerana tidak mendapat sokongan ketara pengundi bukan Melayu.
“BN masih betah bertahan di kawasan Melayu di sebalik kekurangan dan jentera yang berkecamuk kerana sokongan kuat pengundi putih mereka,” katanya. – Malaysiapost

