STATUS proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai masih belum diketahui setakat ini, namun pengundian di kerusi berkenaan dijangka ditangguhkan susulan kematian seorang calonnya.
Semakan di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), MySPR Semak turut mendapati pautan bagi kerusi Parlimen Padang Serai juga sudah dikeluarkan daripada laman web itu.
Bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan mengumumkan keputusan mengenai pengundian di kawasan parlimen berkenaan selepas mengadakan Mesyuarat Khas, hari ini.
Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak, dalam satu kenyataan kelmarin dilaporkan berkata, mesyuarat itu susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) M Karupaiya bagi kerusi Parlimen Padang Serai yang dilaporkan meninggal dunia Rabu lalu.
Menurutnya, SPR telah menerima Writ Pilihan Raya yang dipulangkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan menyatakan fakta berkaitan kematian calon terbabit.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 18 November 2022 (Jumaat) bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting untuk urusan PRU-15 Bahagian Parlimen Padang Serai.
“Satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan calon PH Parlimen Padang Serai itu meninggal dunia di Hospital Kulim dipercayai akibat mengalami serangan jantung dan komplikasi kesihatan.
Karupaiya, 69, adalah penyandang kerusi Parlimen Padang Serai yang memenanginya pertama kali pada PRU-14.
Pada PRU-15, mendiang yang juga bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Pegawai Waran 1, berhadapan pertembungan enam penjuru.
Pertembungan kerusi Parlimen Padang Serai membabitkan Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk Sivaraj Chandran (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Ananda Ak (Bebas). – Malaysiapost

