Projek KASA : Tuan Ibrahim fail writ saman, tuntutan terhadap Rafizi

0
1
tuanibrahim-rafizi

TIMBALAN Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan terhadap Rafizi Ramli berkenaan kenyataan mengaitkan namanya terlibat dalam kelulusan projek Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA).

Menurutnya, sebelum ini beliau sudah menghantar notis tuntutan bertarikh 10 November kepada Timbalan Presiden PKR itu.

“Pada jam 4 petang semalam (17 November) peguam saya Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid telah memfailkan satu Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan berkenaan saman fitnah saya terhadap Mohd Rafizi Ramli, Timbalan Presiden PKR.

“Seperti yang umum ketahui, saya telah menghantar Notis Tuntutan bertarikh 10 November kepada Mohd Rafizi Ramli atas kenyataan beliau yang sangat tidak bertanggungjawab dan memfitnah saya.

“Saya memberikan masa tujuh hari untuk beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut. Namun begitu, Mohd Rafizi Ramli tidak memberikan apa-apa respon bertulis kepada peguam saya,

“..namun mengambil tindakan terus-terusan memfitnah saya dengan kenyataan demi kenyataan yang tidak berpaksi kepada kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, beliau berharap Rafizi berani berhadapan dengan proses mahkamah mengikut undang-undang, bukan hanya berkokok melaungkan fitnah di media sosial dan pentas ceramah.

“Insya-Allah, saman tersebut telah diterima oleh mahkamah dan peguam saya akan menyampaikan saman tersebut kepada Mohd Rafizi Ramli.

“Saya sahut cabaran Mohd Rafizi Ramli untuk menyaman beliau. Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan setebal 73 muka surat dan pihak mahkamah telah menerima writ saman tersebut,” ujarnya.

Rafizi sebelum ini mendakwa KASA dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat milik individu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno.

Rafizi mendakwa dimaklumkan sumber kerajaan bahawa usaha meluluskan segera projek itu bawah pentadbiran kerajaan sementara sebagai timbal balas selepas menerima dana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau menuntut Tuan Ibrahim menjawab dakwaan itu dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara kerana ia bertentangan dengan pekeliling perbendaharaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here