Reezal harap kemenangan yang lebih menyakinkan

0
1

CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berharap diberi kemenangan yang lebih menyakinkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai bukti rakyat mahukan kerajaan yang lebih stabil.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, yakin pengundi kini lebih mahukan kerajaan yang stabil demi kemakmuran negara, selepas merasai pengalaman ‘eksperimen’ yang dilakukan dalam pilihan raya sebelum ini.

“Saya ingin berkhidmat untuk Parlimen Kepala Batas dan saya mahu kemenangan kali ini jauh lebih menyakinkan kerana saya mahu hantar isyarat ke Putrajaya bahawa Kepala Batas mendokong dan menguatkan BN agar sebuah kerajaan yang dibina nanti adalah kerajaan yang benar-benar stabil yang boleh membawa kemakmuran kepada semua.

“Saya yakin rakyat sudah melalui banyak pengalaman sebelum ini. Rakyat sebelum ini melakukan ‘eksperimen’, bila melihat BN terlalu berkuasa mereka melihat ia antara sebab berlakunya rasuah.

“Mereka merasakan berlaku penyalahgunaan kuasa mutlak dan mahukan semak dan imbang melalui parti lawan yang kuat, maka berlakulah pada pilihan raya sebelum ini hingga BN tewas dengan harapan ada semak dan imbang,” katanya kepada Malaysiapost.

Beliau berkata, malangnya apa yang berlaku adalah hanya banyak semak sahaja sehinggakan hilang imbangan hingga berlaku ketidaktentuan dan ketidakstabilan negara yang mengakibatkan pelabur-pelabur tidak yakin untuk melabur.

“Mereka tidak tahu kenyataan Perdana Menteri hari ini boleh dikekalkan atau tidak kerana kerajaan kerap bertukar atau kerajaan yang tidak didokong parti yang sama

“Ini menyebabkan kita kehilangan peluang kerana pelabur inginkan ketentuan,” tegasnya.

Reezal Merican berkata, terdapat kecenderungan pola pengundi kali ini untuk kembali melihat penubuhan kerajaan yang jauh lebih stabil kerana rakyat sudah rasai pengalaman dengan melakukan eksperimen sebelum ini

“Perlu ada institusi yang jauh lebih diyakini untuk memastikan elemen semak dan imbang ini tanpa perlu mengorbankan ketidakstabilan dengan jumlah kemenangan sesebuah parti yang membentuk kerajaan di Parlimen.

“Mana-mana parti yang mendominasi atau lebih stabil kelak perlu memastikan masalah yang dibangkitkan rakyat sebelum ini dapat diatasi,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Reezal Merican

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here