PKR akan memfailkan petisyen mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana didakwa mengeluarkan kenyataan membawa ancaman kepada ketenteraman awam.
Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata ia berikutan satu video ucapan Muhyiddin yang tular di media sosial ketika tempoh berkempen yang didakwa mengaitkan pembangkang dengan agenda Yahudi dan memurtadkan umat Islam di negara ini.
Rafizi turut menjelaskan, Ketua Angkatan Muda (PKR), Adam Adli akan membuat laporan polis ke atas Presiden Bersatu itu.
“Apa pun keputusan pilihan raya di Pagoh, PKR akan memfailkan petisyen jika beliau menang kerana jelas berlaku pelanggaran Akta Pilihan Raya.
“Ini kerana kita mempunyai bukti video yang memaparkan Muhyiddin cuba mengancam ketenteraman orang Melayu dan bukan Melayu di negara ini.
“Walaupun akta itu pada tahun 1952 dan tiada disebut tular, namun kandungan video itu melanggar peruntukan Seksyen 4A akta berkenaan,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.
Terdahulu, satu klip video berdurasi 1 minit 44 saat tular di media sosial memaparkan Muhyiddin memberitahu penonton supaya tidak memilih Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya esok.
Muhyiddin berkata, PH adalah parti yang bahaya kerana beliau pernah terjumpa video mengenai sekumpulan orang Yahudi bercakap tentang Malaysia.
Muhyiddin yang akan bertanding di Parlimen Pagoh mendakwa, kumpulan berkenaan berdoa supaya Malaysia jatuh ke tangan pembangkang yang menaja Yahudi dan Kristian.
Beliau turut mendakwa terdapat orang Islam pergi gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang telah melakukan proses Kristianisasi di negara ini. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Muhyiddin Yassin

