Kaitkan PH dengan agenda Yahudi, Kristian, Muhyiddin tandus modal politik – Anwar

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin disifatkan ketandusan modal politik apabila mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dengan agenda Yahudi dan Kristian yang kononnya mahu mengambil alih Malaysia.

Tohmahan itu dibidas Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak berasas sama sekali.

“Katanya Kristian dan Yahudi sudah menyusup masuk. Tak ada modal lain ke? Komunis, Kristian, Yahudi. Kalau merompak, tak ada masalah.

“Saya nak jawab (tuduhan itu), saya tidak defensive, saya tidak apologetic. Kalau anda nak saya memimpin negara ini, saya akan pertahan orang Melayu dan hak Melayu, saya pertahan orang Cina dan hak Cina, saya pertahankan orang India dan hak India, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Calon Perdana Menteri PH itu berkata demikian ketika ceramah kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Bandar Tun Razak, malam tadi.

Anwar turut membidas Muhyiddin sebagai sudah hilang kelayakan dalam persaingan sebagai Perdana Menteri kerana rekod kehadiran tidak memberangsangkan di Parlimen selain keengganannya untuk mengisytihar harta.

“Bagaimana nak pilih pemimpin, nak tahu dia rasuah atau tidak? Apabila dia tak berani isytihar harta, jangan sokong. Muhyiddin kata dia sudah hantar laporan kewangan Bersatu kepada pendaftar pertubuhan. Apa kena mengena?

“Saya minta dia isytihar harta, tak berani sebab ada harta di sini, ada harta anak, ada harta menantu, ada harta di Australia… Nak jadi pemimpin must come clean, anda tak rompak, anda tak ambil tanah, tak ambil balak, tak ambil kontrak, baru rakyat percaya yang anda boleh memimpin,” katanya.

Terdahulu dalam ceramah PN pada 16 November lalu, Muhyiddin mengaitkan PH dengan kumpulan Yahudi dan Kristian yang cuba mengambil alih Malaysia.

“Bagi saya ini bahaya. Apakah bermakna akan berlaku proses Kristianasasi? Kita dah dengar cerita ini bukan?

“Di Kuala Lumpur dan di Petaling Jaya, kalau ada gereja hari Ahad, ada juga orang-orang Melayu pergi sana. Rupanya dah masuk Kristian.

“Itu saya tak fikir berkembang dengan pesat sebab sebahagian besar kita adalah orang Islam. Tetapi agenda puak-puak dan kaum-kaum seperti ini adalah niat mereka adalah untuk mengambil alih Malaysia satu daripada koloni dia.

“Itu adalah strategi jangka waktu panjang. Mungkin kita tidak lihat ini pada waktu ini tetapi mungkin tidak berapa lama lagi kalau kita tidak berhati-hati dan berjaga-jaga,” katanya.

Susulan itu, Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM) menggesa pihak berkuasa supaya bertindak bagi mengelakkan kenyataan seperti itu berulang. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Anwar Ibrahim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here