Tidak perlu tarikh baharu, penangguhan pilihan raya di Padang Serai – Azalina

0
2
Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

DATUK Seri Azalina Othman Said memaklumkan tiada keperluan untuk tarikh baharu atau penangguhan pilihan raya bagi Parlimen Padang Serai, selepas seorang calon yang bertanding di kerusi itu meninggal dunia.

Beliau yang merupakan Ketua Pasukan Petugas Khas Demokrasi dan Undang-undang Barisan Nasional (BN), berkata ia merujuk kepada Peraturan 11 (6) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

Tambahnya, peraturan itu menyebut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya boleh menetapkan tarikh baharu sebelum pengundian dimulakan sama ada melalui pengundian awal atau menjelang hari pengundian.

Katanya, bagi kes Padang Serai, pengundian awal sudah pun bermula pada 7 November (undi pos) dan 15 November membabitkan polis, pasukan keselamatan dan pasangan masing-masing.

“Ini menyebabkan desakan untuk menangguhkan pilihan raya Padang Serai tidak perlu,” katanya dalam hantaran Facebook.

Azalina berkata, proses pengundian awal juga sudah berjalan menyebabkan calon baharu tidak dapat dicalonkan bagi kerusi Padang Serai.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Pengerang itu berkata, ia kerana bagi undian awal bagi kerusi Parlimen itu tidak dapat ditarik balik, disamping tiada peruntukan undang-undang untuk penamaan calon baharu selepas pengundian bermula.

“Justeru, undian boleh diteruskan untuk Padang Serai pada 19 November (Sabtu ini) mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981,” katanya.

Sementara itu, Azalina turut memuji kepemimpinan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Padang Serai, mendiang M Karupaiya.

“Beliau adalah Ahli Parlimen yang baik dan kawan baik kepada ramai (Ahli Parlimen) daripada kedua-dua blok,” katanya.

Karupaiya yang dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Padang Serai bagi penggal keduanya, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Kulim, Kedah semalam.

SPR juga dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan tarikh penting pilihan raya di Padang Serai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here