Sikap cakna Che Abdullah, tarik sokongan ahli PUTRA

0
1

HAMPIR 100 ahli Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) beralih sokongan selepas tertarik dengan kecaknaan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi terhadap rakyat.

Nekad ingin membantu Che Abdullah dalam kempen yang masih berbaki kurang 48 jam ini, ada antara mereka yang bergelar pemimpin dalam parti itu turut melepaskan jawatan masing-masing serta-merta hari ini.

Ketua Wirawati PUTRA Kelantan, Siti Masitah Nasir, berkata keperibadian dan kesungguhan Che Abdullah yang dilihat sangat komited turun padang bersama masyarakat sepanjang tempoh berkempen dirasakan selari dengan perjuangan mereka.

“Sepanjang lebih seminggu sepanjang tempoh berkempen, kami melihat kecaknaan Che Abdullah lebih menonjol berbanding calon lain dan ini menguatkan hati kami bahawa beliau layak menerajui Tumpat.

“Disebabkan itu kami semua mengambil keputusan membantu beliau berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) namun dalam masa sama belum lagi mengumumkan status keahlian kami dalam PUTRA,” katanya ketika sidang media hari ini.

Sementara itu, Che Abdullah meluahkan rasa terharu dengan tindakan ahli PUTRA itu yang disifatkan sebagai kejutan saat akhir namun mampu mencetuskan ‘gelombang Datuk Che Lah’.

Beliau berkata, sokongan yang semakin ramai itu sedikit sebanyak dapat mengangkat semula reputasinya yang sedikit terjejas sebelum ini berhubung isu peribadi dan masalah dalaman PAS itu sendiri.

“Saya tak sangka semakin banyak serangan peribadi yang dilemparkan kepada saya, semakin banyak sokongan yang diterima sekaligus membuktikan tidak semua orang menerima bulat-bulat segala tomahan yang dilemparkan.

“Sokongan yang diterima ini akan menjadikan saya lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan dan dalam masa yang sama berdepan dengan serangan peribadi dan ‘cybertrooper’,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau juga memberitahu beberapa pos parti lawan dalam Parlimen Tumpat akan dirobohkan oleh penyokong parti itu hari ini.

Beliau mendakwa, penyokong parti lawan di beberapa lokasi itu dikatakan tidak yakin dengan calon yang diletakkan untuk merebut kerusi di parlimen berkenaan.

“Saya difahamkan beberapa pos itu akan dirobohkan hari ini kerana penyokongnya tidak yakin dengan calon dan menyatakan sokongan kepada BN,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here