Bayaran awal BKM fasa 4 untuk undi BN – Tun M

0
1

TUN Dr Mahathir Mohamad mempersoal tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempercepatkan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia Fasa 4 bermula 15 November lalu.

Pengerusi Penaja Gagasan Tanah Air (GTA) itu berkata, kerajaan sementara tidak dibenarkan membuat keputusan besar selepas Parlimen dibubarkan berkuat kuasa 10 Oktober lalu.

“Tetapi PM (Ismail Sabri) sementara memberi BKM lebih awal – sebelum mengundi pada 19 November konon kerana musim tengkujuh.

“RM2.1 bilion yang boleh bina lima buah hospital, atau 20 sekolah atau 300 kilometer jalan akan diberi kepada rakyat percuma,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dr Mahathir berkata, tindakan tersebut dianggap rasuah kerana diberi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, ia sekali gus akan mempengaruhi pengundi untuk mengundi Barisan Nasional (BN).

“Perasuah seperti ini jika jadi Kerajaan akan curi duit rakyat untuk diri sendiri dan sedikit untuk rakyat.

“Ingat, Najib (Datuk Seri Najib Razak) didapati bersalah kerana memiliki RM2.6 bilion dalam akaunnya.

“Tiga mahkamah dan sembilan hakim tidak percaya duit ini di hadiah oleh Raja Arab. Tidak ada bukti akan pemberian ini,” katanya lagi.

SEmentara itu, Dr Mahathir sekali lagi menyentuh mengenai Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi tuduhan penyelewengan wang di mahkamah.

Katanya, jika benar spekulasi Ahmad Zahid akan diangkat menjadi Perdana Menteri jika BN memenangi PRU-15, maka Presiden Umno itu akan mengaut lebih banyak wang.

“Akan ada yang berkata kalau Zahid atau Ismail Sabri bagi duit yang mereka curi, itu kesalahan mereka.

“Kita yang terima duit dari mereka, kita tidak mencuri, tidak salah. Okay-lah. Apa salahnya kalau kita pilih Zahid dan Ismail sebagai kerajaan.

“Kita tak curi. Tentu kita tidak berdosa. Tetapi akan rosak dan bankrap lah negara. Anak cucu kita akan kutuk kita,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa Ahmad Zahid tidak akan menjadi Perdana Menteri sekiranya BN menang PRU-15.

Beliau berkata demikian menjawab spekulasi bahawa Presiden Umno itu adalah calon Perdana Menteri BN, dan bukannya Ismail sabri.

Mohamad menegaskan, Umno telah pun membuat keputusan bahawa calon Perdana Menteri ialah Ismail Sabri

Menurutnya, bagaimanapun ia terletak kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here