PRU15: ‘Syed Saddiq mesej doakan saya menang di Pagoh’ – Muhyiddin

0
2

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui sehingga kini masih mempunyai hubungan baik dengan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, hubungan baik itu berkekalan kerana Syed Saddiq menganggapnya seperti ‘bapa’.

Katanya, Syed Saddiq juga ada menghantar mesej kepadanya melalui WhatsApp mendoakan kemenangannya di Pagoh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Pasal dia lihat saya ini sebagai bapa sampai hari ini pun dia ada hantar WhatsApp doakan saya menang di Pagoh

“Saya pun begitu juga nak doakan dia menang di Muar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Ceramah Parlimen Muar di Padang Bukit Mor, Parit Jawa, malam tadi.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, secara dasarnya beliau mahu calon PN Muar, Abdullah Husin menang di Parlimen Muar.

“Bahasanya gitu. Tetapi ‘nawaitu’ kata menangkan Abdullah sebab PN. Tak apalah tak usah cerita,” katanya.

Muhyiddin juga berkata, beliau yang membawa Syed Saddiq masuk menyertai politik semasa melantiknya menjadi Ketua Armada Bersatu.

Malah, Muhyiddin mengakui Syed Saddiq merupakan seorang yang cerdik dan anak didiknya.

Untuk rekod, Parlimen Muar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Syed Saddiq yang juga penyandang kerusi, Mohd Helmy (BN) dan Abdullah Husin (PN).

Pada PRU14, Syed Saddiq yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Bersatu menewaskan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Abdul Aziz Talib (PAS) dengan majoriti 6,953 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here