CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menafikan ada kaitan dengan tangkap layar mesej WhatsApp yang didakwa mahu menjatuhkan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ia selepas tular perbualan kononya Khairy mengarahkan individu untuk menamatkan hayat politik Mohamad atau Tok Mat yang akan bertanding di Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Khairy sebelum ini adalah penyandang kerusi Parlimen Rembau, sebelum beralih menjadi calon di Sungai Buloh bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno itu.
Menerusi ciapan di Twitternya, Menteri Kesihatan itu menegaskan mesej yang memaparkan nama pengirim ‘Boss KJ’ itu adalah palsu dan berunsur fitnah.
“Fake (palsu). Tak perlu sebar fitnah black ops, ‘source: trust me bro’ macam ni. Laporan polis dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) akan dibuat termasuk terhadap akaun Dr. Bigger balls ini.
“Tolak fitnah dan politik kotor. Fokus pada #KitaJagaSungaiBuloh #KJ4SB,” tulisnya.
Khairy juga membuat ulang kicau ciapan milik seorang pengguna Twitter yang kononnya memaparkan perbualan WhatsApp didakwa antara Khairy dan seorang individu itu.
Mesej itu turut menyatakan individu itu dijanjikan jawatan Setiausaha Politik sekiranya Khairy menjadi Perdana Menteri. – Malaysiapost

