Ketidakstabilan politik negara bakal berulang jika PN, PH bergabung

0
2
Datuk Shahrul Nasrun Kamaruddin

EXCO Pemuda Umno, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin menjangkakan episod ketidakstabilan politik negara bakal berulang jika berlaku gabungan ‘khemah besar’ antara parti politik yang bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, ini kerana semua pemimpin parti politik terbabit mempunyai impian untuk menjadi Perdana Menteri.

“Gabungan khemah besar di antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sedang rancak diperkatakan, saya telah mendapat kertas perundingan awal dari sumber dalaman parti mereka.

“Mereka sedang mencipta pakatan baharu kerana terlalu takut dengan gelombang sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN).

“Sekiranya berlaku, episod drama siapa mahu jadi Perdana Menteri akan berulang kembali, dan menyebabkan negara huru-hara yang akhirnya rakyat menjadi mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Shahrul Nasrun, hasil kajian dalaman PH dan PN berkaitan sikap pengundi pada PRU15, mendapati BN mampu mendahului jumlah kerusi di Semenanjung berbanding dengan parti mereka.

“Situasi itu menyebabkan pemimpin PH dan PN mula mencipta pelbagai persepsi baharu untuk mengelirukan pengundi,” katanya.

Beliau berkata, PH dan PN juga terpaksa mencipta persepsi bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menyokong mereka untuk bersama membentuk kerajaan baharu selepas 19 November nanti.

“Namun mereka lupa apa yang berlaku pada 2018, GPS tidak akan lupa bagaimana Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan ketika itu meminta bayar balik hutang kepada Kerajaan Pusat berjumlah RM2.3 bilion dan menghentikan pelbagai projek kemudahan kepada rakyat di Sarawak.

“GPS juga telah membuat kenyataan bahawa mereka tidak akan mengulangi kesilapan bekerjasama dengan PH dan sekutunya oleh itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here