PN dijangka atasi BN berdasarkan trend yang semakin menaik

0
3

PERIKATAN Nasional (PN) kini dijangka mampu memenangi lebih kerusi mengatasi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berdasarkan trend yang semakin menaik.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, ia berdasarkan laporan yang dilakukan perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Semalam saya menerima panggilan daripada perisikan tentera yang memaklumkan berita di peringkat negara hari ini kedudukan PN ke arah menaik.

“Kerusi PN dijangka akan mengatasi BN dan kedudukan kita setakat ini cukup baik dan sekiranya ia termakbul bermakna Perdana Menteri akan diangkat dari Perikatan Nasional,” katanya berucap di majlis Ceramah Grand Final PRU-15, hari ini.

Ikmal Hisham yang juga calon PN Parlimen Tanah Merah turut mengharapkan pengundi memberi kepercayaan kepada parti itu untuk mengemudi negara.

Pada masa sama, Ikmal Hisham turut menyifatkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub gagal membawa pembangunan kepada Machang selama dua penggal mengemudi Parlimen berkenaan.

Katanya, Ahmad Jazlan yang juga calon BN Parlimen Machang juga gagal mengambil peluang untuk membawa masuk pembangunan di Parlimen berkenaan ketika menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

“Buktinya hari ini bila saya datang ke Machang, banyak perbezaan jika dibandingkan dengan Parlimen Tanah Merah dan berharap pengundi di sini memberi peluang kepada calon PAS untuk membawa perubahan kepada Parlimen Machang,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here