MH17 ditembak jatuh peluru berpandu buatan Russia – Mahkamah Belanda

0
2

MAHKAMAH Belanda hari ini mengesahkan hasil dapatan bahawa pesawat penumpang MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Russia dalam tragedi pada 2014.

Mahkamah itu yang mengendalikan perbicaraan empat suspek lelaki dikaitkan dengan insiden berkenaan tanpa kehadiran tertuduh, dalam penghakimannya berkata peluru berpandu terbabit ditembak dari sebuah padang di timur Ukraine.

“Mahkamah berpandangan MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK yang dilancarkan dari sebuah padang ladang berhampiran Pervomaisk, mengorbankan kesemua 283 penumpang dan 15 kru,” kata Hakim Hendrik Steenhuis.

Mahkamah berkata, Russia mempunyai kawalan menyeluruh ke atas pasukan tentera kumpulan pemisah di timur Ukraine ketika kejadian.

“Dari pertengahan Mei 2014, Russia mempunyai apa yang dikatakan kawalan menyeluruh ke atas Republik Rakyat Donetsk,” kata Steenhuis merujuk kepada wilayah tempat pesawat itu ditembak jatuh.

Pada 17 Julai 2014, pesawat itu yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di timur Ukraine sehingga meragut nyawa kesemua 298 penumpang dan anak kapal dari 10 negara berbeza, dengan lebih separuh daripadanya adalah warga Belanda.

Ketika kejadian, kawasan terbabit adalah lokasi pertempuran antara kumpulan pemisah yang disokong Russia dengan tentera Ukraine.

Keluarga mangsa yang mengikuti penghakiman berkenaan menegaskan, keputusan mahkamah itu merupakan satu peristiwa penting.

Namun, semua tertuduh itu yang berdepan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan, masih diburu hingga kini. Mereka dituduh mengatur dan mengangkut sistem peluru berpandu BUK terbabit, namun bukan menembaknya secara peribadi.

Keempat-empat tertuduh berkenaan dipercayai berada di Russia yang dilaporkan enggan mengekstradisi mereka.

Perbicaraan tanpa kehadiran tertuduh dijalankan ke atas warga Russia, Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov yang kesemuanya adalah bekas pegawai perisikan; serta pemimpin kumpulan pemisah Ukraine, Leonid Kharchenko.

Sebelum ini media melaporkan pendakwa raya ketika pembukaan perbicaraan pada Mac 2020, berkata jika mahkamah menjatuhkan hukuman, mereka akan melakukan apa saja dalam kuasa mereka untuk memastikan ia dikuatkuasakan sama ada di Belanda atau tempat lain.

Siasatan diketuai oleh pasukan Belanda, dengan turut disertai Ukraine, Malaysia, Australia dan Belgium.

Membaca lebih lanjut penghakiman mahkamah, Steenhuis berkata, tertuduh tidak mempunyai sebarang kekebalan daripada pendakwaan kerana mereka bukan anggota perkhidmatan bersenjata Russia.

“Tiada sebarang keraguan munasabah bahawa MH17 telah ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu BUK,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here