Fitch Solutions ramal BN ada potensi menang PRU-15

0
1

BARISAN Nasional (BN) berpotensi memenangi undi terbanyak dan berkemungkinan besar membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) meskipun wujud risiko ketara Parlimen tergantung.

Dapatan tersebut berdasarkan jangkaan Fitch Solutions Country Risk & Industry Research (Fitch Solutions).

Firma penyelidikan penarafan negara dan industri itu berkata, terdapat tanda-tanda bahawa momentum politik kini memihak kepada BN selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Fitch Solutions juga berkata, BN mempunyai kelebihan menjadi gabungan yang paling lama memerintah di negara ini.

“Kami di Fitch Solutions berpendapat bahawa terdapat lebih dua pertiga peluang BN kembali berkuasa di Malaysia, tetapi masih terdapat kemungkinan besar Parlimen tergantung.

“Skor indeks risiko politik jangka pendek Malaysia berada pada 64.8 daripada 100, yang menghampiri paras terendah dalam rekod, mencerminkan ketidaktentuan politik yang tinggi,” menurut nota penyelidikan firma berkenaan.

Berkenaan peluang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi PRU-15 pula, firma itu menjangkakan kebarangkalian untuk dua gabungan berkenaan menang adalah bawah 25 peratus dengan menyatakan momentum PH menurun sejak memenangi PRU-14 pada 2018.

Dalam pada itu, katanya, PN pula menunjukkan prestasi buruk pada PRN Melaka dan Johor, yang mana dipercayai perkara sama berlaku pada PRU15.

Fitch Solutions juga menjangkakan kestabilan politik dijangka kembali di Malaysia selepas PRU15 disokong oleh penguatkuasaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Ia berkata, penguatkuasaan akta itu sekali gus mengekang keruntuhan kerajaan baharu yang dibentuk susulan pembelotan parti.

Katanya, secara teorinya, keadaan itu juga seharusnya membawa kepada penambahbaikan dalam proses penggubalan dasar, mengurangkan keperluan untuk kerajaan baharu yang memerintah memberi sokongan kepada parti yang lebih kecil untuk mengelakkan pembelotan dalam parti.

“Sebaik saja kerajaan dibentuk, kami menjangkakan kestabilan politik akan kembali di Malaysia, diperkukuh oleh Rang Undang-Undang ‘anti-lompat parti’, yang diluluskan pada Julai dan berkuat kuasa 5 Oktober lalu.

“Kami akan menyemak semula markah subkomponen ‘pembuat dasar’ dan ‘kesinambungan dasar’ selepas pilihan raya, tetapi tahap penambahbaikan akan bergantung kepada susunan kerajaan baharu,” katanya.

PRU15 membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang, Perlis dan Perak serta Bugaya di Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari mengundi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here