17 pekerja mual terhidu gas nitrogen bocor

0
1

SERAMAI 17 pekerja di sebuah kilang memproses makanan mengalami mual dan pening kepala akibat terhidu gas dipercayai nitrogen yang bocor di sebuah premis di Subang Jaya, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera bersama anggota dari Balai Bomba Subang bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.33 pagi.

“Kejadian melibatkan gas bocor di ruang memproses daging beku yang berkeluasan 1.39 meter persegi (m²) x 5.57 m² dipercayai gas nitrogen.

“Pihak bomba telah menutup injap paip utama saluran gas terbabit dan mengarahkan semua pekerja keluar dari premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata, pasukan hazmat sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan premis terbabit selamat digunakan.

Tambah beliau, dua daripada mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan lanjut, bagaimanapun kesemua mereka dilaporkan dalam keadaan stabil. – Malaysiapost

Foto : JBPM Selangor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here