Reezal Merican yakin mampu teruskan legasi Pak Lah

0
1

DATUK Seri Reezal Merican Naina Merican yakin mampu meneruskan legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas diwakili bekas Perdana Menteri itu selama hampir 35 tahun.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kepala Batas itu bagaimanapun tidak mahu ‘mendabik dada’ atau bersikap optimis dalam usahanya mempertahankan kerusi dimenanginya pada dua pilihan raya sebelum ini.

“Ini adalah penggal ketiga saya tampil untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas mewakili BN setelah saya mengambil alih daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13.

“Banyak yang dirancang dan telah dilakukan bagi meneruskan legasi Pak Lah (Tun Abdullah) dan kita bukan hanya mengemukakan janji tetapi ia dapat dilihat melalui bukti,” katanya ketika ditemui Malaysiapost baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, keyakinannya itu berdasarkan tiada isu membabitkan dirinya terutama isu-isu lokal, yang jika ada hanya berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.

“Oleh kerana saya mempunyai hubungan yang agak baik dengan kerajaan negeri, banyak masalah timbul dapat diselesaikan,” tegasnya.

Menurutnya, selain itu pembangunan pesat dialami Kepala Batas juga adalah daripada pentadbiran kerajaan BN.

“Pada umumnya Kepala Batas berubah wajah dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini. Dahulu kita tidak melihat pembangunan yang sebegini pesat.

“Kepala Batas tidak lagi boleh dianggap sebagai kawasan luar bandar. Malahan ia sudah menjadi pinggiran bandar dan bandar kecil yang bakal berkembang menjadi bandar yang lebih besar.

“Saya tak naklah mendabik dada dan terlalu optimistik, tetapi saya yakin ada ruang dan peluang lagi untuk saya memegang amanah sebagai Ahli Parlimen di sini,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai manifesto atau tawarannya kepada masyarakat di Kepala Batas, Reezal Merican menegaskan beliau tidak menawarkan manifesto sebaliknya ‘ikrar aku janji’.

“Saya tidak menggunakan perkataan manifesto, saya gunakan ikrar aku janji. Ikrar aku janji ini adalah jauh lebih kuat maknanya. Saya sendiri ingin diikat dan tidak mahu rakyat melihat bahawa manifesto sudah diibaratkan sebagai bukan kitab suci dan mudah dimungkiri.

“Ini (manifesto) menyebabkan pemimpin itu tidak diambil berat atau diberi perhatian bila menawarkan perancangan,” katanya.

Beliau berkata, ikrar aku janji yang dikemukakan adalah membabitkan perkara-perkara yang boleh dilaksanakan, sangat diperlukan dan dapat dilaksanakan dalam tempoh waktu yang munasabah.

Ikrar aku janji Reezal Merican membabitkan tujuh teras iaitu membangun infrastruktur prasarana rakyat dan perumahan; mengukuh hubungan sosial dan komuniti; merancak aktiviti ekonomi setempat; serta membangun modal insan dan pendidikan.

Tiga lagi teras adalah mengimarahkan syiar islam dan pembangunan rohani; agenda anak muda; dan agenda pembangunan wanita Kepala Batas.

Menurutnya kesemua teras berkenaan membabitkan 25 ikhtiar dan 41 gerak kerja yang akan dilaksanakannya jika diberi mandat sekali lagi sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here