MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada Sabtu ini, seorang pesara, Zulkifli Md Asid berkongsikan pengalamannya berkhidmat sepanjang kerajaan ’22 bulan’ memerintah negara selepas memenangi pilihan raya sebelum ini.
Berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara selama 41 tahun, beliau turut mengharamkan anak-anaknya memilih parti yang membenci dan menghina tugasnya.
“Saya sebagai bekas polis (OCS) amat terasa semasa zaman 22 bulan, baru jadi Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) dah pandai cekak pinggang di hadapan anggota bawahan yang hanya menerima arahan, siap tunjuk jari, apatah lagi pengikut-pengikut di belakang senyum sengih bangga dengan sifat bosnya.Pada saya itu sangat kurang ajar.
“Saya sebagai ketua balai terpaksa ‘work smart’ berlakon..ya YB yes YB,” kongsinya di Facebook menggunakan nama Mone Zulkifli.
Berpangkat Sub Inspektor sebelum bersara, beliau memaklumkan daripada apa yang diamatinya selama 22 bulan di tempatnya berkhidmat, wakil rakyat dari parti berkenaan tidak mahu membantu rakyat yang bermasalah.
“Mereka meminta saya kesan dan cari orang-orang yang bermasalah, tetapi saya dapati YB tinggalkan masalah tu, tak nak bantu, cakapnya “saya tak mau dia jumpa saya nanti banyak kerja kena buat” telinga ini masih teringat-ingat.
“Sikap besar kepala puak puak pengikut menjadi-jadi selama 22 bulan, OCS terpaksa lagi, work smart. Begitulah saya alami,” katanya.
Menurutnya, kini beliau bebas bersuara dan mendakwa selama 41 tahun berkhidmat, 22 bulan berkenaanlah banyak polis di hina dan dicaci oleh kerana pemimpin yang mengajarnya.
“Ayah berkhidmat selama 41 tahun, 22 bulan tu lah masa banyak polis dihina, dicaci oleh kerana bos mereka yang tunjuk ajar.
“Demi Allah aku haramkan anak-anak aku memilih mereka yang menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berdaulat,” tegasnya.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada ‘anak-anak buahnya’ yang masih berkhidmat dengan PDRM menjelang PRU-15 ini.
“Lagi dekat ni (PRU-15), berjuanglah bersungguh-sungguh dengan kebenaran, ikut nasihat guru-guru kita, semoga perjuangan yang sikit tapi benar dapat memberi petunjuk pada anak-anak kita sendiri, rakan-rakan sendiri,” katanya.
Dalam perkongsiannya itu, Zulkifli juga muat naik gambarnya yang pernah tular di media sosial melalui rakaman video membabitkan seorang pemandu dan penumpang lori yang melakukan provokasi serta menuduhnya meminta wang.
Kes tular pada 5 Disember 2019 yang telah selesai itu berlaku ketika beliau menahan lori berkenaan di Jalan Pasir Putih-Lahat berhampiran Bandar Lahat Baharu, Ipoh. – Malaysiapost

